Waktu Solat

Dapatkan widget waktu solat ini

Thursday, August 19, 2010

Tazkirah Remaja : Kita ada Kekuatan Kawal Diri

Kita ada kekuatan kawal diri


Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

BULAN karnival ibadat kembali lagi. Pasti ramai yang menanti dan merinduinya selepas sekian lama menghilang.

Apa tidaknya, bulan yang sarat dengan tawaran istimewa yang tiada pada bulan lain. Di dalamnya ada keampunan, kasih sayang, kesihatan dan seribu rahmat lain akan dinikmati mereka yang memburunya. Kita sebenarnya perlu bersyukur dengan nikmat agama Islam yang mewajibkan puasa.

Walaupun kita letih dan lapar, sangat banyak pengajaran dan hikmah yang kita pelajari daripada ibadat tertua ini. Rupanya, puasa menghantar satu isyarat bahawa kita ada potensi cukup kuat untuk menguasai diri. Apa dia kekuatan itu? Betulkah kita kuat? Ya! Kita memang ada kekuatan. Kalau nak tahu kekuatan menguasai diri, cuba fikirkan setiap hari kita berpuasa kita tidak makan berjam lamanya. Kita semua tahu makanan adalah keperluan asasi dalam kehidupan.

Orang sanggup mati demi untuk makan. Orang sanggup berperang, gadai maruah, malah sanggup buat apa saja. Bayangkan dalam masa berbelas jam itu kita boleh menahan diri daripada mengambil makanan. Kita boleh sabar hingga masa berbuka. Ketika berlapar makanan depan mata, kalau kita nak makan kita boleh makan senyap-senyap, ketika berkumur kita boleh kalau nak teguk air, bukan ada orang tahu pun. Kalau orang lain teguk kita pun tak tahu. Tapi tak buat itu semua kerana membatalkan puasa kita. Dua perkara kita belajar daripada apa yang dikemukakan di atas.

Pertama, kalau kita sudah boleh menahan daripada makanan asasi dalam kehidupan sudah tentu perbuatan yang tidak asasi apa lagi yang memudaratkan kita. Mengumpat bukannya perkara asasi dalam kehidupan. Tidak pernah berlaku dalam hidup kita seseorang dimasukkan ke hospital sebab sudah dua minggu tidak mengumpat. Makanan yang sangat perlu dalam kehidupan boleh kita tinggalkan apa lagi merokok yang sangat membahayakan sudah tentu kita boleh 'say good bye' kepadanya. Elok tinggalkan saja.

Memang kita boleh tinggalkan, apa tidaknya makanan asasi dalam kehidupan boleh ditinggalkan ini pula yang membahayakan nyawa. Pendek kata segala sifat kotor dan keji boleh dihindari dengan belajar daripada kekuatan puasa. Kedua, kita tidak berani hendak minum air ketika puasa sebab kita rasa Allah yang Maha Melihat memerhatikan kita. Manusia tidak mampu memerhatikan kita pada setiap tempat.

Perasaan serupa sepatutnya membuatkan kita berasa sentiasa 'diintip' oleh kamera langit, menyebabkan kita takut diketahui dan dicatatkan, apa lagi nanti dibentangkan di Padang Mahsyar. Inilah antara benteng yang menghalang kita melanggar perintah Allah iaitu perasaan malu.

Dalam satu hadis, Rasul bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadan Allah akan mengharamkan tubuhnya daripada disentuh api neraka." Sekiranya hendak lihat gembira yang betul menyambut Ramadan lihatlah cara kita melayani Ramadan. Cara kita melayani puasa, cara kita membaca al-Quran, cara kita bertarawih itulah kayu ukurnya.

Kalau kata gembira sambut Ramadan tetapi puasa tidak cukup atau puasa yang tidak berkualiti, gembira itu tidak tepat. Puasa hanya hendak penuhkan perut. Siang hari separuh mati sebab terlalu lapar manakala malam, apabila berbuka separuh mati pula sebab terlalu kenyang. Ada pula puasa belum ke mana-mana tapi sudah hendak beraya. Perkara yang membatalkan puasa dijaga betul-betul tetapi yang membatalkan pahala puasa tidak dijaga. Itu puasa adat bukannya ibadat. Justeru, antara persiapan yang patut kita lakukan ialah;

• Berdoa kepada Allah supaya Ramadan kali ini kita sempat dan berazamlah untuk melakukannya dengan terbaik.

• Bacalah buku fekah mengenai hukum berpuasa sama ada mengenai sah dan batalnya, perkara makruh puasa. Baca juga cara Rasulullah berpuasa.

• Saling ucap tahniah melalui SMS pada teman, keluarga dan ibu bapa di kampung.

• Kepada mereka yang ada penyakit dan rutin memakan ubat perlu mendapatkan nasihat doktor.

• Ziarah kubur menimbulkan keinsafan, bertuahnya kita kerana masih ada peluang hidup dan mendorong untuk bersungguh-sungguh berpuasa berbanding dengan si mati yang kita ziarah.

Sumber Metro 13/08/2010
(Dipetik dari sklaiman1.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...